Tuesday, 14 February 2012

Kedai Mak Ndak.....



Sabtu, 11.2.2012, seawal  pagi aku memulakan perjalanan dari Teluk Intan ke kampung kesayangan ku. Seperti selalu-selalunya, semangat sentiasa memuncak bertenaga dalam mengharungi perjalanan … kerana di hujung perjalanan itu nanti adalah daerah kelahiran ku !!! Dengan rahmat Allah… aku sekeluarga selamat sampai sekitar jam 9.40 pagi.
Cuaca terang benderang dan terasa bahang kepanasan lebih dari selalu. Memang pun , waktu ini (Feb-Mei) adalah musim kemarau kebiasaannya. Sesampainya di kampung, satu tempat yang jarang tidak aku singgahi adalah sebuah gerai/kedai makan. Gerai yang masih bertahan lebih dari 30 tahun dan di sebabkan kematangnya, sudah barang tentu ia sarat dengan kenangan dan sejarahnya tersendiri !! Gerai / kedai makan Mak Ndak Lijah (Mak Ndak Halijah) telah mula beroperasi sejak aku masih di sekolah rendah lagi !!! Bayangkan !!!
Kedai asal dahulu terletak betul-betul depan rumah ini, diatas
banggol yang akhirnya telah diratakan.
Sambil  lepak santai di situ sambil aku menikmati laksa kegemaran ku….sambil juga aku melayari masa silam…..  Teringat sewaktu Mak Ndak mula berniaga (sekitar 1975@ 1976) dahulu….sewaktu dia hanya menjual abc, cendol, “ais kepal” serta rojak buah….di kedai asalnya terletak sedikit diatas banggol  di bawah sepohon ketapang yang rendang. Masih segar diingatan arwah Pak Ndak Li (Ramli) sibuk memesin ais batu di waktu puncak…saat kami pulang dari sekolah di tengaharinya, sedang dia hanya berkain pelikat (selalunya) tanpa  berbaju dengan tuala tersangkut di lehernya. Mak Ndak pula ligat memotong timun, sengkuang dan nenas untuk menyediakan rojak buah istimewanya kerana di campur pula sedikit sotong kembang !!!
Simple....Laksa kegemaran ku !!!
Sekitar 80’an, kedai baru dibina setelah banggol itu di ratakan dengan tulang empat kerat (dicangkul) sedikit demi sedikit. Menu jualan juga bertambah dengan kehadiran laksa yang enak  sebagai tambahan kepada apa yang sedia ada. Menurut ceritanya, resepi untuk laksa enak ini di pelajari oleh Mak Ndak secara tidak sengaja dari seorang wanita tidak dikenali yang singgah di kedainya. Katanya wanita itu asal dari Pulau Pinang. Sejak itu, laksa menjadi tarikan istimewa hinggakan ‘orang luar’ atau jauh pun singgah atau datang untuk menikmatinya !!! Dulu...aku sering terserempak dengan kakitangan jabatan kerajaan seperti dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Pos, LLN (waktu itu) serta Jabatan Bekalan Air sudah pasti akan singgah menikmati makanan kegemaran mereka setiap kali mereka selesai bertugas di kampung ku. Apa tidaknya...selain menyelerakan, harganya cukup murah !!!
Wajah baru kedai Mak Ndak
Mak Ndak dan Mat Isa...segala 'ilmu' telah habis diturunkan....
Mak Ndak Halijah, pencetus kedai penuh kenangan.......
Kini pelbagai makanan serta minuman di sediakan
Selepas pertengahan tahun milinium,kedai MakNdak sekali mengalami ubah-suai dengan dibina lebih besar dan lebih tersusun. Segala kerja ubah-suai ini dilakukan sendiri oleh Mat Isa, anak Mak Ndak yang kini secara serius terjun ke lembah warisan perniagaan ini. Dengan dibantu oleh isteri Mat Isa, perniagaan semakin membesar dengan menu sajian juga semakin hari semakin bertambah. Kini….muncul  bihun sup (daging)yang hebat, nasi ayam yang mengancam, mee dan kuew teow, nasi lemak, cucur kembung ( seperti ‘cha koi’ )  serta pelbagai jenis minuman panas dan sejuk. Namun….sesuatu yang menjadikan aku sedikit terkilan adalah tiada lagi rojak buah yang menjadi ikon sekian lama !!! Walau pun itu ‘menghilangkan’ apa yang sinonim dengan kedai Mak Ndak lebih 25 tahun, namun perubahan perlu dilakukan demi melayani selera anak-anak muda kini. Selari dengan perkembangan zaman, kedai Mak Ndak juga menyediakan kemudahan Wi-Fi bagi memudahkan masyarakat kampung berhubung di media siber !!! Hebat.....bagi kedai sekecil ini !!!


Selari dengan perkembangan zaman, kedai Mak Ndak tidak mau
ketinggalan menyediakan kemudahan IT seperti restoran besar ternama !!!
Mat Isa, tenaga segar dalam meneruskan lagenda Mak Ndak !!
Aku……… sekian kalinya segar mengingati setiap jalur kenangan yang terpahat  berkait dengan kedai ini….bila saja aku santai di sini. Dahulu…..kedai ini menjadi tempat pilihan pertemuan aku dengan buah hati kesayangan (kini isteri) kerana ia tempat paling ideal dan sopan melepaskan kerinduan. Teringat betapa ‘sporting’nya Mak Ndak terhadap kami !!! Bagaimana bisa aku lunturkan segala kenangan…… setiap kali aku singgah serta ‘hanyut’ di sini !!!

Monday, 13 February 2012

"Telaga Pak Su"

" Telaga Pak Su "

"Telaga Pak Su"

Utuh tegap hingga kini
Biarpun  sekian lama berehat  dari tugasannya
Setelah penat menabur jasa pada tuan, jiran
Serta  seluruh orang kampung;
Ia meriah oleh  kunjungan berhajat……pelbagai !!!
Riuh dengan desiran curahan mandi
Menyenjuk  tubuh tiga kali sehari
Berwuduk bersihkan diri lima kali sehari
Melepas dahaga  selepas penat bermain
Atau air bersih untuk kopi dan teh
Pilihan ampuh untuk minuman
Dek kejernihan bersih membiru
Kerna air sungai waktu itu teruk dicemari  
Oleh  “radioaktif”  buangan dari “reaktor” manusia !!
Tatkala kebersihan dari pencemaran bukan agenda……!!!


 ‘Telaga Pak Su’ merupakan ikon penuh nostalgia bagi ku, bah kan kepada kampung ku juga. Ia milik Othman Daud ( Pak Su ) yang berhijrah dari Kelantan. Menurut cerita, telaga ini telah digali  sekitar lewat tahun 50’an (1959 ?) sebagai sumber air untuk kemudahan kegunaan harian. Keunikan telaga ini adalah kerana ia merupakan telaga yang digali jauh dari  lembah yang hampir dengan sumber matair, seperti kebiasaanya . Ini membuatkan ia mempunyai kedalaman tersendiri… kurang lebih 12 kaki  dengan diameter  5 kaki, menggunakan gelung konkrit …..  Cuma ada 3 jenis telaga sedemikian …satu  terletak dihujung kampung di tapak surau pertama  dan sebuah lagi milik Hj Isa Hj Mat Zin !! Pun begitu, ‘Telaga Pak Su’ tetap punyai kelainan tersendiri kerana menawarkan air yang sangat dingin menyegarkan di sebabkan kedalamannya !!

Telaga ini punyai jadual pengurusannya tersendiri. Ini untuk mememastikan airnya tetap segar tidak berbau disebabkan oleh enapan serta dedaunan di lantainya yang lama terjeruk di situ. Kerana ia tiada penutup, maka mudah lah segala dedaunan dan ranting kayu menjunam ke dalamnya !! Waktu paling sesuai untuk dilakukan pembersihan  biasanya sewaktu musim kemarau. Ini lebih mudah kerana isipadu air waktu ini kurang dan kerja untuk menimba air keluar menjadi sedikit ringan !! Kerja-kerja menyelenggara ini bukan mudah di sebabkan kedalaman serta isipadu air yang besar !! “Sigai” dari batang buluh minyak  dijadikan tangga untuk menuruni ke dasar telaga. Masih aku ingat…berkubanglah Mazilah Mat Isa, Ghazali Talib (dah Meninggal dunia ) dan Si Jusoh menjadi mandornya diatas !!! Bila dah di dasar telaga, maka kerja menimba keluar air mula dilakukan dengan menggunakan timba bertali panjang. Ia berterusan hingga air kering dan selepas itu segala enapan pula di punggah !! Proses ini berlarutan sehinggalah ‘dasar keras’ telaga terselah memutih…iaitu lapisan tanah liat. Maka selesailah tugas memenatkan itu !! Selepas semalaman, air kembali seperti asal dengan rasa yang lebih enak asli !!!

Kini, setelah ada kemudahan bekalan air paip, 'Telaga Pak Su'  tidak lagi menjadi ikon….tidak terurus…seperti juga dengan  dua teman  seangkatan dengannya….tinggal sepi tanpa kunjungan…. Ia sangat meruntun jiwa…terasa hiba…..Masa merubah segalanya.... masa seperti juga suatu kematian.....tidak terdaya untuk menghalangnya  !!!



Dahulu...telaga ini sentiasa riuh dikunjungi........................