Tuesday, 14 February 2012

Kedai Mak Ndak.....



Sabtu, 11.2.2012, seawal  pagi aku memulakan perjalanan dari Teluk Intan ke kampung kesayangan ku. Seperti selalu-selalunya, semangat sentiasa memuncak bertenaga dalam mengharungi perjalanan … kerana di hujung perjalanan itu nanti adalah daerah kelahiran ku !!! Dengan rahmat Allah… aku sekeluarga selamat sampai sekitar jam 9.40 pagi.
Cuaca terang benderang dan terasa bahang kepanasan lebih dari selalu. Memang pun , waktu ini (Feb-Mei) adalah musim kemarau kebiasaannya. Sesampainya di kampung, satu tempat yang jarang tidak aku singgahi adalah sebuah gerai/kedai makan. Gerai yang masih bertahan lebih dari 30 tahun dan di sebabkan kematangnya, sudah barang tentu ia sarat dengan kenangan dan sejarahnya tersendiri !! Gerai / kedai makan Mak Ndak Lijah (Mak Ndak Halijah) telah mula beroperasi sejak aku masih di sekolah rendah lagi !!! Bayangkan !!!
Kedai asal dahulu terletak betul-betul depan rumah ini, diatas
banggol yang akhirnya telah diratakan.
Sambil  lepak santai di situ sambil aku menikmati laksa kegemaran ku….sambil juga aku melayari masa silam…..  Teringat sewaktu Mak Ndak mula berniaga (sekitar 1975@ 1976) dahulu….sewaktu dia hanya menjual abc, cendol, “ais kepal” serta rojak buah….di kedai asalnya terletak sedikit diatas banggol  di bawah sepohon ketapang yang rendang. Masih segar diingatan arwah Pak Ndak Li (Ramli) sibuk memesin ais batu di waktu puncak…saat kami pulang dari sekolah di tengaharinya, sedang dia hanya berkain pelikat (selalunya) tanpa  berbaju dengan tuala tersangkut di lehernya. Mak Ndak pula ligat memotong timun, sengkuang dan nenas untuk menyediakan rojak buah istimewanya kerana di campur pula sedikit sotong kembang !!!
Simple....Laksa kegemaran ku !!!
Sekitar 80’an, kedai baru dibina setelah banggol itu di ratakan dengan tulang empat kerat (dicangkul) sedikit demi sedikit. Menu jualan juga bertambah dengan kehadiran laksa yang enak  sebagai tambahan kepada apa yang sedia ada. Menurut ceritanya, resepi untuk laksa enak ini di pelajari oleh Mak Ndak secara tidak sengaja dari seorang wanita tidak dikenali yang singgah di kedainya. Katanya wanita itu asal dari Pulau Pinang. Sejak itu, laksa menjadi tarikan istimewa hinggakan ‘orang luar’ atau jauh pun singgah atau datang untuk menikmatinya !!! Dulu...aku sering terserempak dengan kakitangan jabatan kerajaan seperti dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Pos, LLN (waktu itu) serta Jabatan Bekalan Air sudah pasti akan singgah menikmati makanan kegemaran mereka setiap kali mereka selesai bertugas di kampung ku. Apa tidaknya...selain menyelerakan, harganya cukup murah !!!
Wajah baru kedai Mak Ndak
Mak Ndak dan Mat Isa...segala 'ilmu' telah habis diturunkan....
Mak Ndak Halijah, pencetus kedai penuh kenangan.......
Kini pelbagai makanan serta minuman di sediakan
Selepas pertengahan tahun milinium,kedai MakNdak sekali mengalami ubah-suai dengan dibina lebih besar dan lebih tersusun. Segala kerja ubah-suai ini dilakukan sendiri oleh Mat Isa, anak Mak Ndak yang kini secara serius terjun ke lembah warisan perniagaan ini. Dengan dibantu oleh isteri Mat Isa, perniagaan semakin membesar dengan menu sajian juga semakin hari semakin bertambah. Kini….muncul  bihun sup (daging)yang hebat, nasi ayam yang mengancam, mee dan kuew teow, nasi lemak, cucur kembung ( seperti ‘cha koi’ )  serta pelbagai jenis minuman panas dan sejuk. Namun….sesuatu yang menjadikan aku sedikit terkilan adalah tiada lagi rojak buah yang menjadi ikon sekian lama !!! Walau pun itu ‘menghilangkan’ apa yang sinonim dengan kedai Mak Ndak lebih 25 tahun, namun perubahan perlu dilakukan demi melayani selera anak-anak muda kini. Selari dengan perkembangan zaman, kedai Mak Ndak juga menyediakan kemudahan Wi-Fi bagi memudahkan masyarakat kampung berhubung di media siber !!! Hebat.....bagi kedai sekecil ini !!!


Selari dengan perkembangan zaman, kedai Mak Ndak tidak mau
ketinggalan menyediakan kemudahan IT seperti restoran besar ternama !!!
Mat Isa, tenaga segar dalam meneruskan lagenda Mak Ndak !!
Aku……… sekian kalinya segar mengingati setiap jalur kenangan yang terpahat  berkait dengan kedai ini….bila saja aku santai di sini. Dahulu…..kedai ini menjadi tempat pilihan pertemuan aku dengan buah hati kesayangan (kini isteri) kerana ia tempat paling ideal dan sopan melepaskan kerinduan. Teringat betapa ‘sporting’nya Mak Ndak terhadap kami !!! Bagaimana bisa aku lunturkan segala kenangan…… setiap kali aku singgah serta ‘hanyut’ di sini !!!

1 comment:

  1. tapi awas bg yang mempunyai resdung, bersin kuat ma....

    ReplyDelete